Anniversary 14th July

Daisypath Anniversary tickers

Buku Pelawat..Sila daftar di sini

Sejarah SMK Padang Berampah



SMK Padang Berampah, Sipitang yang terletak lebih kurang 160 km dari Kota Kinabalu dan 7 km dari pekan Sipitang dibina di atas tanah seluas 50 ekar. Sekolah ini merupakan sekolah menengah kedua dalam Daerah Sipitang selepas SMK Pengiran Omar.


Penubuhan sekolah ini adalah atas desakan penduduk setempat terutamanya penduduk dari Kampung Long Pasia, Meligan, Mendulong, Pantai, Sindumin dan sekitarnya. Tujuannya agar anak-anak mereka mudah untuk melanjutkan pelajaran di sekolah menengah yang berhampiran dengan tempat kediaman mereka. Ini disebabkan SMK Pengiran Omar terletak jauh dari tempat kediaman mereka. Bagi pihak Jabatan Pelajaran Sabah (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Sabah), penubuhan sekolah kedua dalam Daerah Sipitang akan dapat menampung peningkatan jumlah murid pada setiap tahun. Di samping itu, ia dapat mewujudkan persaingan sihat bagi kedua-dua buah sekolah dalam melahirkan generasi berilmu dan berpendidikan serta mempunyai sahsiah yang tinggi terutamanya dalam kalangan anak-anak jati Sipitang.


Lokasi asal yang dicadangkan bagi pembinaan sekolah ini adalah di kawasan Bandar Sahabat Sindumin-Merapok. Namun atas sebab-sebab tertentu, lokasi ini telah diubah berdekatan dengan SK Padang Berampah dan bersebelahan dengan kawasan perumahan Sabah Forest Industries(SFI).


‘SMK Padang Berampah’. Begitulah nama yang diberikan kepada sekolah menengah baru tersebut. Ia diberi nama sedemikian kerana lokasinya terletak di satu kawasan padang yang berpasir putih dan kaya dengan sejenis pokok yang dikenali oleh masyarakat setempat sebagai pokok rampah.


Pembinaan sekolah ini dimulakan secara projek kilat pada Oktober 1989 dan siap pada Disember 1989. Bangunan ini terdiri daripada dua bangunan; sebuah bangunan untuk bilik darjah iaitu dua bilik untuk tingkatan 2 dan tiga bilik untuk tingkatan 1. Sebuah lagi bangunan menempatkan pejabat am, bilik guru dan asrama (untuk murid lelaki dan perempuan) yang boleh menampung seramai 30 penghuni berserta sebuah dewan makan asrama. Tidak lama kemudian, sebuah bangunan tambahan didirikan yang menempatkan dua bilik darjah, sebuah pusat sumber, bilik pengetua, pejabat am dan bilik guru.


Bangunan sekolah ini mula digunakan secara rasmi pada 4 Disember 1989 iaitu pada sesi persekolahan 1989/1990. Tenaga pengajar pada peringkat awal penubuhan sekolah ini hanya seramai 9 orang sahaja. Pengetua pertama yang ditempatkan bertugas di sekolah ini ialah Tuan Hj. Omarali Hj. Wahab¹ dan dibantu oleh 8 orang guru dan seorang kakitangan bukan mengajar. Jumlah murid pada ketika itu hanya lebih kurang 200 orang; 120 murid tingkatan 1 dan 80 orang murid tingkatan 2. Semua murid yang mendaftar masuk ke sekolah ini datang dari kawasan-kawasan kampung yang berhampiran termasuk dari kawasan perumahan SFI.


Pada tahun 1992, bangunan sekolah baru telah dibina di tapak baru yang terletak kira-kira 250m dari bangunan lama. Bangunan baru ini mempunyai dua blok bangunan dan menelan belanja sebanyak RM1 juta. Bangunan baru ini merangkumi 16 bilik darjah, dua makmal sains, dua bilik KHB, satu bilik pusat sumber, bilik guru,pejabat am, surau dan kantin. Bangunan konkrit ini mula digunakan secara rasmi pada 15 Disember 1992.


Pada peringkat awalnya, sekolah ini hanya menampung kelas tingkatan 1 hingga tingkatan 3 sahaja. Tetapi bermula sesi 1992/1993, kelas untuk menengah atas telah dibuka dengan jumlah murid seramai 60 orang. Bermula tahun 1997, sekolah ini diketuai dan ditadbir oleh En. Asliari Hj. Tamit dengan jumlah tenaga pengajar seramai 56 orang dan KTBM seramai 9 orang. Bilangan murid sekolah ini telah meningkat mencecah 900 orang yang diagihkan kepada 29 kelas dengan dua sesi persekolahan. Sesi pagi terdiri daripada 17 kelas iaitu tingkatan 3(6 kelas), tingkatan 4(5 kelas) dan tingkatan 5(5 kelas). Tingkatan 1 dan tingkatan 2 beroperasi pada sesi petang dan masing-masing terdiri daripada 6 kelas. Menjelang tahun 1999, satu kelas sains tulen telah dibuka untuk murid tingkatan 4 dengan jumlah seramai 25 orang.


Seterusnya bermula pada tahun 2006 hingga 2008, En. Matrudin bin Radin telah menggantikan tempat En. Asliari sebagai pengetua baru di sekolah ini dengan dibantu oleh barisan orang-orang kanan dan guru-guru yang berwibawa dalam usaha membawa sekolah ini melangkah ke hadapan. Pada ketika ini sekolah ini telah berada dalam kategori Kumpulan A kerana jumlah keseluruhan muridnya melebihi 1000 orang. Kini, Pn. Hjh Roslinah Bt Hj. Suhailin mejadi Pengetua SMK Padang Berampah


Nota kaki:- Maklumat lanjut, sila KLIK SINI


0 comments: