Minggu ini GBK ada sedikit masa lapang untuk membaca dan melawat blog-blog yang wujud di alam maya ini, GBK tertarik dengan post ini yang diperolehi dari http://kaunseloranda.blogspot.com/
Selamat membaca!~
Dr. Sham0 comments
Tuesday, February 3, 2009
AKPK
Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit adalah merupakan perkhidmatan untuk membantu individu yang mengalami masalah kewangan yang berat. Ianya merupakan institusi yang memberi nasihat dan konsultasi kepada mereka yang gagal untuk menampung pendapatan kerana perbelanjaan melebihi daripada jumlah pendapatan yang diterima. Mereka yang mendapat perkhidmatan ini akan dibantu untuk melunaskan hutang tanpa faedah kepada bank. Bukan itu sahaja, mereka yang terikat dengan AKPK ini akan disenarai hitamkan dalam mana-mana institusi kewangan sehingga hutang piutang mereka pada semua bank langsai. Itulah peranan Agensi KAUNSELING Pengurusan Kredit. Sesungguhnya peranan yang dimainkan oleh agensi ini telah berjaya membantu beribu-ribu pelanggannya dalam isu menangani hutang piutang. Sebenarnya saya tertarik dengan nama KAUNSELING itu. Apakah nama perkhidmatan kaunseling ini bersesuaian dengan agensi berkenaan? Mungkin ada manisnya sekiranya nama kaunseling itu di tukar kepada Konsultasi atau Perundingan. Namun, siapa kita para kaunselor untuk mempertikaikan penggunaan istilah tersebut? Kita adalah kaunselor yang hanya pada nama tapi tidak pada jiwa. Mungkin saya salah tapi mungkin juga kerana kita ini tidak ambil kisah. Sewajarnyalah masyarakat melihat kaunseling ini sebagai kaedah penasihatan yang boleh dilakukan oleh semua orang. Apalah sangat ijazah kaunseling yang kita pegang, ianya sekadar wajah tanpa jiwa. Saya hanya sekadar meluah. Tapi sebagaimana yang saya maklum, siapalah kita ini para kaunselor. Ada Akta tetapi..... Ada persatuan tetapi..... Mari kita fikirkan ke mana agaknya kita ingin membawa jiwa kaunselor kita. Adakah hanya berada dipinggir kota atau kita ingin berada di puncak negara...
Dr. Sham0 comments
Friday, December 12, 2008
LUAHAN HATI SEORANG KAUNSELOR
Ini hanyalah pendapat secara peribadi memandangkan saya ini seorang kaunselor dan mencintai bidang kaunseling ini hampir 10 tahun lamanya. Perkhidmatan kaunseling di Malaysia sangat sepi dan tidak berseri. Banyak perkara yang diputar belitkan oleh mereka yang tidak mengenalipun apa erti perkhidmatan kaunseling ini sebenarnya. Apa yang orang ramai faham tentang kaunseling adalah perkhidmatan ini lebih kepada nasihat dan bimbingan. Asal sahaja boleh memberi nasihat dengan baik, dan dapat memberikan motivasi kepada orang lain melalui keindahan kata-kata dan perangsang yang begitu meyakinkan, maka orang inilah di angkat oleh masyarakat sebagai orang yang pakar dalam bidang kaunseling. Kaunseling itu dilihat dalam satu perspektif yang jumud sehingga tertanam dalam pemikiran masyarakat kita bahawa ia hanya untuk orang yang sakit jiwa dan mempunyai masalah kronik. Justeru, bagi orang yang normal, menganggap perkhidmatan ini tidak layak untuk mereka. Walau sebenarnya hakikatnya tidak ada seorang pun manusia yang waras dalam dunia ini tidak ditimpa masalah. Cuma yang berbeza masalah itu kecil atau besar sahaja. Justeru, individu yang normal ini, sekiranya mempunyai masalah mereka akan terus merujuk kepada orang yang mahir memberi nasihat dan pakar memotivasikan orang lain. Saya tidak menafikan individu yang pakar dalam penasihatan ini adalah mereka yang hebat dan mampu menggunakan ilmu itu memurnikan kehidupan individu yang lain dengan cara menyerapkan nilai diri mereka kepada orang lain. Yang baik perlu kita terima. Namun, ada juga yang hanya bercakap tanpa memikirkan konsep manusia itu berbeza dari segi lahiriah dan spritualnya. Akhrinya individu inilah yang berjaya dan diangkat oleh masyarakat sebagai seorang kaunselor sebenar. Walaupun mereka ini tidak memahami erti kaunseling dan tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang ini. Banyak kita lihat di Malaysia agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang mengangkat individu yang kosong atau separuh masak dalam bidang kaunseling ini menjadi kaunselor. Menggunakan nama jawatan kaunselor tanpa mereka sedar atau pun mungkin sedar tetapi tidak memperdulikan akta yang diperjuangkan oleh Lembaga Kaunseling Malaysia iaitu Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) yang menegaskan penggunaan istilah kaunselor hanya kepada mereka yang layak secara total dari praktikalnya dengan mengamalkan ilmu-ilmu kaunseling yang diperolehi bertahun-tahun lamanya di universiti yang terlibat.
Satu lagi penipuan yang dilakukan oleh mereka yang tidak memahami istilah kaunseling itu adalah mereka cuba mengasingkan antara perkhidmatan kaunseling ini dengan iman dan ilmu agama kita yang zuhud yakni agama Islam. Setiap kali membaca kenyataan orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan hati saya tersinggung. Sebagai seorang Islam dan sebagai seorang kaunselor, saya rasa orang-orang ini perlu dibawa ketengah dan disaman kerana membuat fitnah kepada bidang kerjaya seorang kaunselor yang beragama Islam. Apakah perkhidmatan menolong ini adalah tidak berlandaskan agama? Apakah penerapan teori-teori kaunseling yang melihat manusia itu dari sudut pemikiran, perlakuan dan emosi itu terasing dengan konsep kita yang bertauhidkan Allah? Apakah perlu kita kepada kaunseling Islam barulah perkhidmatan kaunseling ini halal bagi orang Islam? Adakah perlu seorang kaunselor itu bertukar menjawat jawatan seorang imam atau ustaz atau ustazah lalu menghafal ayat-ayat quran bertujuan untuk melancarkan perjalanan perkhidmatan kaunseling ini? Adakah seorang kaunselor yang beragama Islam yang tidak menggunakan istilah kaunseling Islam dalam perkhidmatan kaunselingnya di anggap tidak Islamik? Apakah seorang kaunselor Islam yang memberi salam, membawa klien berfikir tentang kehidupan, menilai implikasi daripada tindakan mereka boleh dikategorikan sebagai tidak sama dengan apa yang diajar oleh Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W? Buta sangatkah seorang kaunselor Islam itu sehingga tidak memahami makna AlFatihah dan tidak mampu menyatakan secara umum mengenai hukum yang terkandung dalam Al-Quran dan juga rukun iman dan rukun Islam? Adakah seorang kaunselor yang beragama Islam itu walau memegang teori REBT dalam kaunselingnya atau teori perlakuan dalam kaunselingnya gagal menerapkan rukun iman dan rukun islam dalam perkhidmatan yang diberi. Kepada mereka yang terlalu jahil dalam ilmu kaunseling, ketahuilah bahawa agama kita yang sempurna ini merentas setiap perbuatan lahiriah dan batiniah yang menuju ke jalan Allah. Kita tidak perlu menjadi ustaz dan ustazah untuk menjadi seorang kaunselor yang hebat. Ustaz dan ustazah telah mempelajari segala ilmu tasawuf dan tariqat, mendalami setiap inci makna al-Quran sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kita mempunyai peranan kita yang tersendiri. Jangan sekali-kali menggunakan ayat suci Al-Quran dan tafsiran yang pudar hanya untuk mendapat tempat dan nama dalam masyarakat. Biar lah kaunselor menjadi seorang kaunselor yang secara jati dirinya mempelajari ilmu-ilmu tersebut kerana Allah dan bukan terpaksa untuk menjadi seorang kaunselor yang lengkap.
Kepada mereka yang tidak memahami perkhidmatan kaunseling ini, sedarlah bahawa ilmu psikologi dan kaunseling yang kononnya kita cedok dari Barat itu sebenarnya adalah dari ilham pemikiran ilmuwan Islam berkurun-kurun lamanya sebelum lahirnya ahli psikologi Barat. Bacalah buku dari Ibnu Zaid, Ibnu Sinna dan ramai lagi yang telah terlebih dahulu mengutarakan ilmu psikologi dan kaunseling. Ikutlah langkah orang bukan Islam yang kedepan pemikirannya dan tidak jumud seperti kebanyakan kita orang Melayu yang hanya melihat sesuatu skop itu begitu kecil dan menggunakan nama agama demi kepentingan diri sendiri. Kepada mereka yang berminat menggunakan jawatan kaunselor di mana-mana agensi kerajaan atau bukan kerajaan, pergilah berguru dengan orang yang sebenarnya supaya kita boleh menjadi kaunselor dan dilahirkan sebagai seorang kaunselor yang sebenar. Allahhuallam.
Dr. Sham0 comments
0 comments:
Post a Comment