Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk kita berpuasa pada tahun ini. Pada hari ini 30 Ogos 2009 bersamaan 09 Ramadhan 1430H, dalam sedar atau tidak sedar umat Islam di Malaysia telah Sembilan hari berpuasa.
Namun dalam keghairahan berpuasa kadang-kadang kita lupa dan alpha terhadap beberapa perkara yang mungkin boleh membatalkan puasa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai peringatan buat kaum muslimin sekalian di bawah ini dinyatakan beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai peringatan dan renungan untuk kita semua agar puasa kita diterima oleh Allah s.w.t.
1. Jimak .
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ? Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.
(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.
Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.
2. Makan Minum
Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.
Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.
Perhatian :
i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.
Sabda Nabi SAW :
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ
Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.
ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .
Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.
(Riwayat Al-Bukhari)
iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak.
Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :
Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :
iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.
v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.
iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.
vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.
viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.
3. Muntah dengan sengaja
Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :
مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ
Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.
4. Keluar mani dengan sengaja
Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
0 commentsKelebihan Berpuasa Dari Sudut Kesihatan
0 commentsSebenarnya bagi orang-orang yang tahu, nilai dan kebaikan puasa itu memang banyak. Antara kebaikan-kebaikan puasa untuk kesihatan ialah:
1. Puasa memberi kesegaran kepada fizikal dan mental seseorang.
2. Puasa bertindak menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik dalam
darah manusia.
3. Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat
anda sihat, segar dan bertenaga.
4. Puasa akan memeanjangkan umur anda.
5. Puasa akan membersihkan diri anda dari dosa.
6. Puasa akan membantu menghakiskan keracunan yang berada
dalam tubuh badan manusia.
7. Puasa akan memberi keseimbangan dalam darah.
8. Bila darah kita terlampau berasid, puasa dapat menurunkan PH dan
menyebabkan darah kembali alkali.
9. Puasa boleh menurunkan darah tinggi.
10.Puasa boleh menurunkan berat badan.
11.Puasa membersihkan segala kotoran dalam badan.
12.Puasa boleh mencerahkan pemandangan mata.
Ingatlah bahawa puasa akan memberi syafaat kepada kita pada Hari Perhitungan nanti.
Selamat Berpuasa
[...]Adab Berpuasa Dan Solat Terawih
0 commentsOleh NAZMI AIDARUS
Sumber: http://www.utusan.com.my/
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
[...]Salam Ramadhan al-Mubarak Dan Selamat Berpuasa
0 commentsPuasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Manakala puasa dari segi istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan pusa bermula daripada terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang di sertakan dengan niat . Puasa juga merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadhan.
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
- Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
- Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
- Puasanya orang istimewa, seperti khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.
Akhir sekali dikesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan blog dan pembaca setia dan tidak setia blog ini jika ada kesalahan yang berbentuk verbal atau penulisan.Semoga puasa kita mendapat keberkatan dari Allah s.w.t...Sekian. [...]
Perginya seorang pejuang nasyid
0 commentsPerginya seorang pejuang nasyid
SETIAP pagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke pejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yang mengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agar perjalanan suami selamat pergi dan kembali.
Namun pagi 13 Ogos lalu, entah kenapa Mohd. Asri atau lebih mesra disapa Ustaz Asri, ayah kepada enam orang anak itu begitu tergesa-gesa untuk pergi, hingga tidak berpeluang isteri tercinta Haliza Shahadan, 39, memeluk erat suami seperti biasa.
Walaupun tindakan Ustaz Asri berlainan daripada biasa, namun Haliza atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah tidak menyangka apa. Cuma yang terfikir, suami tersayang tergesa-gesa kerana ada tugas sudah menanti pada 10.30 pagi itu.
Pagi itu, Ustaz Asri dan Rabbani dijadualkan menyanyikan lagu tema Syahadah musim kelima sebuah rancangan terbitan RTM yang akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan, di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.
Namun suratan takdir telah menentukan. Kelainan sikap Ustaz Asri pagi itu rupa-rupanya petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak-anak dan dunia yang fana ini.
Tidak siapa menduga, ketika Noor Jannah sibuk di rumah mengurus anak-anak, ahli anggota Rabbani berusaha membantu memulihkan Ustaz Asri yang rebah tiba-tiba ketika mahu memulakan latihan menyanyikan lagu tema tersebut.
Dan... dalam suasana tenang dan sepi, ketika syahadah dibisikkan di telinganya, Ustaz Asri yang rebah dan pucat wajahnya, longlai di pangkuan sahabat-sahabatnya.
Meski hati mereka digayut rasa sedih, namun tidak mahu mengaku kalah. Dengan semangat setia kawan dan dipanjatkan beribu doa, dengan menaiki van milik mereka, Ustaz Asri dibawa ke Pusat Perubatan Pantai.
Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan tepat pada pukul 11.45 pagi, doktor mengesahkan Ustaz Asri yang dikenali sebagai pejuang lagu-lagu nasyid meninggal dunia kerana sakit jantung.
Dilahirkan pada 3 Ogos 1969, pemergian Allahyarham amat mengejutkan ramai pihak terutama kepada mereka yang meminati koleksi lagu-lagu dakwah nyanyiannya bersama kumpulan Rabbani.
Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, kini, segalanya hanya tinggal kenangan dan akan terus terpahat di sanubari setiap daripada kita semua.
Dan, sememangnya, kita semua perlu menerima takdir dan hakikat bahawa Ustaz Asri kini sudah tiada lagi untuk mengingatkan semua dengan lagu-lagu berbentuk dakwah dan nasihat.
Semuanya sudah termaktub sebagai mana janji Allah SWT dalam al-Quran bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.
Rebah ketika menjalani sesi latihan sempena pelancaran program Syahadah, rintihan dan tangis sendu mengiringi saat jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
Selain seorang balu, Haliza Shahadan@Noor Jannah, Allahyarham meninggalkan enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.
Dua hari sebelum itu, penulis berkesempatan menemui Allahyarham ketika majlis menandatangani perjanjian persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sempena Ramadan tahun ini.
Ia merupakan kerjasama ke-18 tahun berturut-turut Rabbani bersama hotel itu.
Allahyarham yang sentiasa ceria pada majlis itu berkata : "Kadang-kadang terdetik di hati saya, jika Singgahsana tidak mengundang kami pada tahun ini, tidak mengapalah.
"Tetapi, jika tidak ada tawaran daripada Singgahsana, ibadah kami sempena Ramadan tahun ini bagaikan tidak lengkap kerana ini merupakan salah satu cabang ibadah Rabbani."
Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengajukan soalan dan bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai Rabbani yang boleh dilabel sebagai kumpulan nasyid nombor satu negara berdasarkan undangan menyanyi di pentas yang tidak pernah lekang.
Allahyarham dengan rendah diri berkata : "Alhamdulillah, Rabbani masih aktif. Bukan hanya konsert, Rabbani sering kali bersama dengan masyarakat. Komitmen setiap ahli kumpulan juga menjadi penentu kepada kejayaan Rabbani.
"Menjaga hati rakan-rakan juga penting. Contohnya, jika saya seorang dipanggil dalam sesebuah majlis, saya akan katakan tidak boleh kerana semua ahli Rabbani perlu diundang sama. Kita perlu utamakan rakan-rakan."
Begitulah setia dan kasihnya Allahyarham terhadap ahli anggota Rabbani yang dianggap bagaikan saudara sendiri.
Bercakap mengenai Allahyarham, dengan berita pemergiannya itu, bait-bait lagu dakwah dan zikir munajat yang sering bermain di bibirnya tatkala aktif bersama Rabbani dan juga Nada Murni mungkin sukar untuk dilupakan.
Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air.
Dalam waktu ini juga, pastinya kita akan mengingati lagu berjudul Pergi Tak Kembali, ciptaan KRU dengan lirik oleh Allahyarham yang pernah dipopularkan Rabbani sekitar 2000.
Lagu itu cukup menginsafkan dan mengingatkan kita semua betapa kematian itu adalah sesuatu yang benar dan pasti berlaku.
ORANG BAHAGIA
0 commentsmenyediakan waktu untuk berfikir
kerana berfikir itu pokok kemajuan
menyediakan waktu untuk beramal
kerana beramal itu pangkal kejayaan
menyediakan waktu untuk bersenda
kerana bersenda itu akan membuat muda selalu
dan menyediakan waktu untuk beribadat
kerana beribadat itu ialah
ibu daripada segala ketenangan jiwa
~IMAM SYAFIE~
KEPULANGAN YG ABADI
0 commentsRenungan buat Kaunselor dari Cikgu Loh
2 commentsIni alasannya:
i) kalau takat buat program guru tersebut cukup hebat, tapi bila minta buat sesi (baik individu atau kelompok) dia kata tak ada masa.
ii) Lebih mengutamakan yang luar dari yang dalam (bak kata pepatah kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan)
iii) Buat program yang syok sendiri, tak pernah rujuk pada pentadbir dan tidak kena dengan keperluan sekolah. (tak ada SWOT dan TOWS)
iv) asyik hilangkan diri sahaja.
Pengajarannya:
Bukan semua guru bimbingan dan kaunseling yang 'hebat-hebat' tu hebat, jadi cermin-cerminkan diri dan bekerjasamalah dengan pihak sekolah. Guru Besar tetap boss kita.
Kaunseling individu dan kelompok tu nasi, program tu lauk dan ulam-ulamnya. Dua-dua tu diperlukan, barulah perkhidmatan kita tu dihormati.
Guru bimbingan dan kaunseling yang berkesan sepatutnya mengwujudkan suasana yang teraputik di sekolah. Tepuk dada, tanya selera.
Posted by Norish @ Afraima at 5:22 AM
nota kaki:- saya insaf.. saya cedok kenyataan ini di http://noorhisham2.blogspot.com/2009/01/renungan-buat-kaunselor-dari-cikgu-loh.html
[...]
Empat langkah tambahan bendung penularan H1N1
0 commentsPUTRAJAYA 4 Ogos – Kerajaan hari ini memutuskan empat langkah tambahan menangani wabak selesema babi atau influeza A (H1N1) yang sehingga kini telah mengorbankan sembilan nyawa.
Langkah-langkah tersebut adalah:
*Meningkatkan simpanan stok antivirus dari 10 kepada 20 peratus melibatkan kos sebanyak RM20 juta.
*Memberi rawatan antivirus serta merta kepada enam kategori pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom selesema babi.
Enam kategori pesakit itu adalah:
*Wanita mengandung
*Obesiti
*Penghidap asma
*Pesakit paru-paru kronik
*Pesakit diabetes
*Pesakit yang mempunyai
imuniti rendah
*Melaksanakan saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas bermula. Semua guru kelas akan dibekalkan dengan alat penyukat suhu. Pelajar yang didapati kurang sihat akan diasing dan dinasihat berehat di rumah serta mematuhi nasihat kesihatan.
lMenambah jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital terbabit sekiranya tidak mencukupi.
Langkah tambahan itu diputuskan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik A (HINI) yang bermesyuarat di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom HINI tidak perlu menjalani ujian pengesahan.
Katanya, rawatan antivirus akan diberi untuk kes-kes yang dikesan dalam tempoh 48 jam selepas menunjukkan tanda dijangkiti H1N1.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat berikutan jumlah kehadiran orang ramai yang mahu menjalani pemeriksaan H1N1 di hospital agak ramai.
“Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza dan mempunyai faktor risiko akan diberi rawatan antivirus serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.
Muhyiddin memberitahu, sebanyak 14 kes baru H1N1 melibatkan jangkitan tempatan dan warga Malaysia dilaporkan hari ini di mana 13 daripadanya merupakan kejadian daripada tiga kluster baru serta satu kes terpencil.
Katanya, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara ini adalah sebanyak 1,460 kes terdiri daripada 574 kes import dan 886 jangkitan tempatan dengan angka kematian masih lapan orang.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,410 pesakit telah sembuh. Hanya 27 orang sedang menerima rawatan antivirus di hospital dengan 10 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 pesakit lain menerima rawatan antivirus di rumah.
“Daripada 10 kes di ICU, tiga orang mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (2),” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri menambah, berdasarkan situasi global, sehingga hari ini sebanyak 189,155 kes dengan 1,319 kematian dilaporkan membabitkan 168 negara dengan Pakistan melaporkan kes pertama.
Jelas beliau, statistik tersebut meningkat sebanyak 3,301 kes dengan 12 kematian berbanding hari sebelumnya.
Sumber: Utusan Malaysia
RITMA KAMPUS
0 comments
PERHATIAN UNTUK PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (PRS) DAN AHLI KELAB KAUNSELING & KERJAYA SMK PADANG BERAMPAH, ANDA DIGALAKKAN UNTUK MENONTON SEBUAH DRAMA YANG BERTAJUK RITMA KAMPUS, DISIARKAN PADA SETIAP HARI SABTU DI TV2 JAM 4.00 - 5.00 PETANG. DRAMA INI DIARAH OLEH ZULKIFLIE M. OSMAN.
DRAMA INI BAGUS UNTUK DITONTON OLEH PRS DAN AHLI KELAB KAUNSELING SEKOLAH DI SELURUH MALAYSIA KERANA IANYA MEMAPARKAN ADEGAN-ADEGAN SEBENAR YANG TERJADI PADA HARI INI, WALAUPUN PERSEKITARANNYA ADALAH KOLEJ @ UNIVERSITI, TETAPI ANDA BOLEH BELAJAR SESUATU DALAM DRAMA INI. DRAMA INI MENGISAHKAN TENTANG PERJALANAN DAN PERGOLAKAN KELAB KAUNSELING YANG DITUBUHKAN DI KOLEJ @ UNIVERSITI. DALAM DRAMA INI BANYAK BABAK MEMBABITKAN UNSUR-UNSUR KAUNSELING.
NOTA KAKI:- KEPUTUSAN MESYUARAT KKRS, LAWATAN KE MIRI MASIH DITERUSKAN, JIKA AHLI KKRS BERMINAT, SILA TULIS NAMA DI NOTIS YANG TELAH DITAMPAL DI BILIK GURU, BILIK KETUA PANITIA, DAN PEJABAT AM (RUJUK KAK NANI)
Sarawak catat kes kematian pertama H1N1
0 commentsKUCHING 3 Ogos — Sarawak hari ini mencatatkan kes kematian pertama kes selesema babi atau Influenza A (H1N1) membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun di Miri, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.
Dr. Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Bertindak Negeri berkata, wanita terbabit meninggal dunia pukul 4 pagi ini di Hospital Umum Miri setelah disahkan positif H1N1 pada 17 Julai lalu.
“Wanita yang baru sahaja melahirkan anak pada 20 Julai lalu disahkan meninggal dunia jam 4 pagi ini bagaimanapun keadaan anaknya stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr. Chan berkata setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import dan orang ramai dinasihati agar lebih mengutamakan tahap kebersihan masing-masing.
Katanya, setakat ini masih terdapat lima buah sekolah di Sarawak diarahkan tutup selain empat institut pengajian tinggi awam.
— BERNAMA
nota kaki:- Majlis Tertinggi KKRS SMKPB akan mengadakan mesyuarat tergempar esok 04/08/2009 jam 11.30 am bertempat di Bilik Gerakan Pengawas berhubung dengan perkara ini. Keputusan tentang rombongan lawatan KKRS ke Miri, Sarawak pada bulan Oktober akan diputuskan dalam jangka masa terdekat. Harap maklum.
be the best!
0 commentsJangan sesekali mendengar kata orang lain yang mempunyai kecenderungan negatif ataupun pesimis...
…kerana mereka akan mengambil sebahagian besar mimpimu dan menjauhkannya darimu.
Selalulah fikirkan kata-kata bertuah yang ada.
Kerana segala sesuatu yang kau dengar dan kau baca boleh mempengaruhi perilakumu. kerana itu selalulah tetap positive..BE IN CONTROL, BE STRONG!!
[...]