Lelaki yang penuh misteri
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
Sudah tiga hari berlalu, namun berita pemergian Raja Pop dunia, Michael Jackson pada usia 50 tahun masih terus diperkatakan.Banyak spekulasi berhubung kematian penghibur yang sangat masyhur dengan gerak tarian 'moonwalk' itu yang didebatkan.
Namun, fokus yang tidak pernah berhenti mengenai Michael atau Jacko ialah terhadap tabiat luar biasanya.Kalau mahu disenaraikan satu persatu kelakuan pelik Jacko barangkali halaman yang lebih besar diperlukan untuk memuatkannya.
Bagaimanapun, yang turut menjadi tumpuan kita semua ialah apakah yang mendorong penyanyi yang pernah menjual lebih 750 juta unit albumnya di seluruh dunia melakukan transformasi wajahnya?Duit sudah tentu bukan masalah buat Jacko.
Dia mampu untuk memiliki apa yang diingini dalam sekelip mata.Lalu tidak hairanlah seluruh dunia mengetahui, seniman yang asalnya dilahirkan berkulit hitam berani mengubah warna kulit sehingga menjadi putih menerusi pelbagai fasa transformasi.
Perubahan warna kulit masih belum memuaskan hati Jacko. Dia yang begitu obses dengan kecantikan mengubah wajahnya hampir 100 peratus.Lantaran terlalu kerap 'mengubah' wajah asalnya menyebabkan Jacko pada beberapa ketika terpaksa menyembunyikan wajahnya agar tidak dikenali peminat di sekelilingnya.Kalau sudah namanya superstar maka dia harus membayar harga yang sangat tinggi untuk mengecap kehidupan dalam penuh 'kesengsaraan'.
Sebetulnya, kalau mahu diulangkaji kehidupan lelaki ini, perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan apa yang berlaku pada Jacko ialah beliau seorang lelaki yang sangat misteri.Hidupnya mencetuskan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat dunia.Daripada cerita kejayaan mencatat jualan album terbanyak di pasaran antarabangsa, siri kejayaan konsert di seluruh dunia sehinggalah ke keberaniannya melakukan perubahan wajah menyebabkan Michael Jackson berdiri kukuh tanpa perlu bayangan orang lain selain dirinya sendiri.
Justeru, ingatan peminat-peminatnya terhadap Jacko tidak akan hilang biarpun kehidupan peribadi seniman itu sangat huru-hara.Karier Jacko tercemar dengan pelbagai kes saman yang dikemukakan padanya termasuk krisis kewangan yang teruk dialaminya sejak beberapa tahun kebelakangan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Demikian juga dengan pelbagai dakwaan lain yang dihadapi Jacko termasuk melakukan pencabulan seksual ke atas kanak-kanak lelaki.Uniknya Jacko, dia masih dikasihani oleh peminat-peminatnya. Simpati buat penyanyi itu sangat tinggi.
Dan bila difikirkan, barangkali sentimen itu melekat padanya kerana sumbangan besarnya pada industri hiburan dunia. Legenda ini merupakan pencetus kepada evolusi muzik pop antarabangsa.Kini, Jacko kini tiada lagi untuk mempertahankan dirinya dengan pelbagai lagi tuduhan lain yang barangkali tidak sempat untuk didakwa ketika hayatnya.
Biarlah dia pergi dengan tenang.Michael Jackson sudah meninggal dunia. Lelaki yang penuh misteri ini hanya meninggalkan kita karya-karya seninya saja untuk dihayati.Sebetulnya juga, kita semua ada dua pilihan untuk mengingati Michael Jackon.
Pilihan pertama ialah mengingati segala kebaikan Jackson sepanjang hayatnya menghiburkan kita.Kepada anda yang berusia 30-an seperti saya mahupun mereka yang menginjak usia 40-an, jangan cuba menafikan hakikat bahawa anda semua pernah membesar dengan lagu-lagu dendangan Jackson.
Jadi, setidak-tidaknya dia pernah menghiburkan kita bukan?Mahu tahu apa pula pilihan kedua yang ada?Saya fikir anda sendiri sudah ada jawapannya. Saya enggan mengulas panjang!
nota kaki:- rest in peace dude!~ i like MJ!!!
0 comments:
Post a Comment