Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam mempunyai peluang cerah menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana, tingkatan enam ibarat prauniversiti dan dengan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ia melayakkan mereka mengikuti program ijazah.
Walaupun STPM bagaikan satu tiket ke IPT, kebanyakan pelajar lepasan SPM kini tidak berminat melanjutkan pelajaran di tingkatan enam sebaliknya memilih institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan pengajian.
Mana tidaknya, walaupun dikatakan prauniversiti, sistem pembelajarannya tetap dilaksanakan seperti sistem persekolahan biasa di sekolah menengah.
Selain itu, pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan dan apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT.
Justeru, bagi menarik minat lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tingkatan enam, sistem terminal yang dilaksanakan kini akan di gantikan dengan sistem modular.
Sistem modular adalah sama dengan sistem di universiti yang membabitkan tiga semester.
Menerusi sistem modular, pelajar hanya menumpukan kepada modul semester berkenaan berbanding sistem penggal, pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran dari Tingkatan Enam Bawah hingga Tingkatan Enam Atas.
Kaedah taksiran modular akan mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan 'open book'.
Dalam sistem modular, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diperolehi dari tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir pengajian.
Peperiksaan akhir tahun masih perlu dalam STPM untuk menentukan tahap keupayaan pelajar apabila memohon ke universiti.
Walaupun sistem itu hanya dilaksanakan menjelang 2011, pelbagai pihak memberi pandangan pro dan kontra.
Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata pihaknya menyokong sistem modular menggantikan sistem terminal.
Beliau berkata, pembelajaran di tingkatan enam ibarat tadika sebelum masuk darjah satu dan ia perlu disesuaikan dengan suasana persekolahan supaya mereka tidak panik.
"Jika dilihat pembelajaran di tingkatan enam sekarang, ia sangat terikat sistem persekolahan biasa.
"Kita mahu pelajar tingkatan enam menuntut dalam persekitaran universiti sebenar kerana ia persediaan awal sebelum melangkah ke IPT.
"Dengan sistem modular, kita dapat membezakan pembelajaran di tingkatan enam dan sekolah menengah walaupun di kawasan yang sama," katanya.
Katanya, secara tidak langsung, sistem itu mengangkat martabat tingkatan enam dan lagi dianggap pilihan terakhir melanjutkan pelajaran.
"Kita sedia maklum, ada sesetengah pelajar melanjutkan pelajaran di tingkatan enam kerana gagal memperoleh tawaran dari IPT atau matrikulasi.
"Justeru, mereka menganggap tingkatan enam tempat terakhir menyambung pelajaran," katanya.
Beliau percaya sistem baru ini akan membuka minda pelajar tingkatan enam keluar dari kepompong pelajar sekolah dan lebih setaraf dengan rakan-rakan mereka di IPT.
"Sistem ini akan membantu pelajar untuk berfikir jauh dan tidak terikat dengan pemikiran pelajar sekolah," katanya.
Sementara itu, bekas pelajar tingkatan enam, Amelia Ahmad Kamal, 27, berkata sistem itu langkah yang bijak dan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.
"Tanyalah sesiapa pasti mereka mengakui cara belajar di tingkat enam sangat menyusahkan.
"Untuk menghadapi STPM, kami membaca semua buku tingkatan enam bawah dan atas yang dipelajari sepanjang dua tahun.
"Jika tersilap langkah dan gagal menguasai subjek yang dipelajari sepanjang dua tahun itu, mereka akan kecundang dan tiket ke IPT lebur begitu saja," katanya.
Selain itu, dengan sistem penggal seperti mana yang dilaluinya dulu, ia membataskan kreativiti pelajar dan menjadikan mereka tidak berkembang.
"Sebagai pelajar di tingkatan enam, kita sebenarnya setaraf dengan pelajar di IPT dan sudah boleh berfikir dengan lebih meluas.
"Tetapi, dengan sistem pembelajaran itu, kita tidak punya masa untuk semua itu dan akan lebih memfokuskan kepada pelajaran," katanya.
0 comments:
Post a Comment